| Tulang mastoid terletak di bahagian belakang cuping telinga (anak panah). Ia mempunyai sambungan kepada telinga tengah.. Wikipedia image |
Sebelum pembedahan mastoid, pesakit perlu membuat ujian pendengaran untuk mengetahui tahap pendengaran. Imbasan CT juga perlu agar pakar ENT dapat mengetahui sejauh mana jangkitan atau penyakit tersebut telah merebak.
Pembedahan mastoid dilakukan melalui torehan pada kulit di belakang cuping telinga (postaural). Tetapi kadangkala ia dilakukan melalui torehan di bahagian atas lubang telinga (endaural). Ia melibatkan penggunaan mikroskop dan drill untuk membersihkan tulang mastoid yang tidak sihat atau mengalami jangkitan.
Kenapa perlunya pembedahan mastoid?
Pembedahan mastoid perlu dilakukan sekiranya jangkitan kuman pada tulang mastoid tidak dapat disembuh dengan rawatan antibiotik dan cucian telinga yang dilakukan oleh pakar ENT di klinik. Ia juga perlu sekiranya pesakit mempunyai penyakit cholesteatoma atau ketumbuhan di dalam telinga. Ini adalah kerana sekiranya dibiarkan berlarutan jangkitan atau penyakit tersebut akan merebak ke telinga dalam menyebabkan pekak pendengaran, mengganggu saraf muka dan juga boleh berjangkit ke bahagian otak.
Saranan selepas pembedahan mastoid
Pesakit mungkin berasa pening selepas pembedahan dan disyorkan agar berehat di rumah selama 5-7 hari. Sekiranya pesakit mempunyai pekerjaan berat yang memerlukan banyak pergerakan dan mengangkat benda berat, pesakit mungkin perlu bercuti selama 2 minggu.
Kesakitan pada bahagian pembedahan selalunya dapat dikawal dengan ubat tahan sakit. Tetapi jika masih mengalami kesakitan yang teruk, mungkin ia tandanya jangkitan kuman telah berlaku.
Bahagian torehan akan dijahit dan jahitan ini perlu dibuka selepas 5-7 hari oleh doktor di klinik.
Bahagian telinga yang dibedah pula akan dibalut dengan 'mastoid bandage'. Ia kelihatan seperti serban kepala yang kecil dan ini perlu dipakai selama lebih kurang 24 jam.
Bahagian lubang telinga pula selalunya disumbat dengan kain antiseptik dan ini harus dibiarkan selama 2 minggu. Pesakit tidak boleh sama sekali menarik keluar sumbatan tersebut. Di bahagian luar sumbatan telinga tersebut pula ditutup oleh kapas (cotton ball). Kapas di luar ini perlu ditukar selalu oleh pesakit di rumah, sekurang-kurangnya setiap kali selepas mandi.
Pesakit harus mengambil langkah berhati-hati agar bahagian telinga yang dibedah dan 'dressing' tidak basah atau dimasuki air.
Perkara-perkara yang perlu dielakkan selepas pembedahan mastoid
Jaga kebersihan telinga yang dibedah dan jangan biarkan ia dimasuki air selama 6-8 minggu
Elak dari menghembus hidung dengan kuat. Sekiranya bersin, pastikan bersin dengan mulut terbuka
Elak daripada mengangkat benda berat dan aktiviti fizikal selama 3-4 minggu selepas pembedahan
Elak daripada menaiki kapal terbang selama 3-4 minggu selepas pembedahan
Pesakit disyorkan meminta nasihat pakar ENT sebelum memulakan pekerjaan dan sebarang aktiviti berat
Masalah-masalah yang dijangkakan selepas pembedahan mastoid
Dengan sumbatan di dalam lubang telinga, pesakit boleh mengalami bunyi air atau buih di dalam telinga dan ini akan hilang apabila sumbatan tersebut dikeluarkan oleh pakar ENT pada masa 2 minggu selepas pembedahan.
Selepas itu tahap pendengaran pesakit bergantung kepada kerosakan yang dialami oleh telinga dalam disebabkan jangkitan kuman sebelumnya (mastoiditis atau cholesteatoma). Ujian pendengaran selalunya dilakukan 3 bulan selepas pembedahan.
Amat jarang sekali ada pesakit mengalami kelemahan otot muka. Ini kerana ada bahagian saraf muka (facial nerve) yang melalui bahagian telinga tengah boleh tercedera/terganggu semasa pembedahan. Dalam kebanyakan kes, kelemahan ini adalah sementara.
Pesakit juga mungkin mengalami deria rasa yang lain pada bahagian lidah dan ini juga bersifat sementara.
Bila pesakit harus mendapatkan rawatan doktor dengan segera selepas pembedahan mastoid
Demam tinggi
Cecair busuk/Nanah yang sentiasa mengalir dari dalam telinga
Sakit pada bahagian pembedahan yang teramat sangat
Bengkak ketara pada bahagian sekeliling telinga yang dibedah
Pening atau rasa kepala berpusing yang menyebabkan rasa loya dan muntah
NOTA:
Cholesteatoma adalah penyakit yang disebabkan oleh gumpalan sel-sel kulit mati dan inflammasi tisu yang mampu menghancurkan struktur-struktur tulang disekelilingnya. Sifat sebegini amat membahayakan sekiranya ia tidak dirawat dengan segera.









