Hidung tersumbat boleh
menyebabkan seseorang merasa sesak nafas, tidur berdengkur, bernafas melalui
mulut, suara sengau, sakit kepala, berat kepala, letih dan lesu. Seringkali
hidung menjadi tersumbat oleh sebab jangkitan virus atau bakteria semasa demam
selsema dan ia akan pulih dalam masa yang singkat. Walaubagaimanapun ada
sesetengah pesakit gejala hidung tersumbat ini berlaku pada bila-bila masa atau
berpanjangan.
Ruang hidung manusia terbahagi
kepada dua; belah kanan dan kiri. Ia dipisahkan oleh tulang tengah iaitu
‘septum’. Masalah hidung tersumbat boleh disebabkan oleh bentuk septum yang
bengkok atau bengkakan pada selaput dalam hidung. Selaput hidung boleh menjadi
bengkak disebabkan jangkitan kuman, alahan (alergi), polip hidung (nasal polyposis) atau ketumbuhan hidung (tumour). Pada peringkat umur kanak-kanak
tisu adenoid yang besar seringkali menjadi punca hidung tersumbat. Terdapat juga insiden di mana bendasing menyebabkan sebelah hidung tersumbat dan berair pada kanak-kanak.
Apa lagi gejala lain berkaitan
dengan hidung tersumbat?
Doktor akan bertanya beberapa
soalan seperti berikut:
- Berapa lama masalah ini berlaku?
- Hidung sebelah mana atau kedua-duanya yang tersumbat?
- Adakah masalah ini semakin serius dalam jangka masa terdekat?
- Adakah tuan/puan mengalami sentiasa bersin, hidung gatal, hidung berair?
- Adakah tuan/puan mengalami masalah sakit kepala, tidur berdengkur?
- Bagaimana dengan deria bau dan rasa? Adakah ia berkurangan?
- Pernah mengalami hidung berdarah?
- Pernah mengalami trauma pada hidung?
- Adakah tuan/puan menggunakan ubat sembur hidung yang mengandungi pseudoephedrine atau mengambil ubat aspirin?
- Adakah tuan/puan mengalami masalah kesihatan yang lain seperti lelah, darah tinggi, masalah tiroid etc?
Bagaimana doktor pakar ENT
mengenalpasti punca hidung tersumbat?
Setelah mendapat riwayat penyakit
dengan teliti, pakar ENT akan memeriksa bahagian ruang hidung dengan
menggunakan skop di klinik. Ini membolehkan pakar tersebut melihat dengan lebih
jelas ruang dalam hidung dan mengenalpasti punca hidung tersumbat. Selalunya
imej skop tersebut disambung kepada kamera dan dipaparkan di atas skrin TV agar
pesakit juga dapat melihat dengan sendiri.
Kadangkala doktor akan
mengesyorkan pemeriksaan lanjutan seperti ujian darah, ujian alahan atau CT
scan. Tetapi ini bergantung kepada setiap kes pesakit dan bukan semua pesakit perlu
pemeriksaan lanjutan tersebut.
Rawatan bagi hidung tersumbat
Rawatan hidung tersumbat
bergantung kepada puncanya. Sekiranya ia berkaitan demam selsema, rawatan
perubatan dapat memulihkan keadaan yang selalunya bersifat sementara.
Rawatan perubatan yang sering
disyorkan termasuk ubat sembur hidung (intranasal steroids, nasal decongestant,
saline wash/spray) dan pil (antihistamine, decongestant) dalam pelbagai kombinasi. Antibiotik juga perlu
sekiranya ada jangkitan bakteria. Ia adalah penting bagi pesakit menggunakan
ubat seperti yang disarankan oleh doktor yang merawat. Kadangkala ia mengambil masa beberapa minggu untuk hidung
tersumbat menjadi lega.
Sekiranya rawatan perubatan gagal
untuk memulihkan masalah hidung sumbat, pakar ENT mungkin mengesyorkan
pembedahan (surgeri). Jenis pembedahan bergantung kepada punca masalah hidung
tersumbat. Contohnya pembedahan septum (septoplasty) dinasihatkan sekiranya
pesakit mengalami tulang septum yang bengkok. Ada juga pembedahan turbinat
hidung untuk mengecutkan selaput yang bengkak. Endoscopic sinus surgery pula disyorkan
bagi mereka yang bermasalah polip hidung dan sinusitis. Tisu adenoid yang
bengkak juga boleh dibedah sekiranya rawatan perubatan gagal. Perlu diingatkan
bahawa ada beberapa cara untuk mengatasi masalah hidung tersumbat dan doktor
pakar akan menasihatkan rawatan yang paling sesuai bagi setiap pesakit.