Masalah resdung seringkali berkaitan dengan gatal hidung, bersin, hingus cair dan hidung sumbat. Dalam bahasa perubatan ia lebih sesuai dipanggil sebagai ‘Allergic Rhinitis’ atau alahan hidung. Pesakit juga boleh mengalami simptom gatal pada bahagian mata dan kulit muka. Gejala ini berlaku kerana pesakit alah kepada pelbagai bahan terutamanya hama, makanan laut, belacan dan sebagainya.
Perkara utama dalam menangani masalah alahan hidung adalah untuk mengelak dari bahan yang menyebabkan alahan atau ‘alergen’. Salah satu cara untuk mengenalpasti alergen adalah dengan mencatatkan dalam diari makanan yang diambil setiap hari dan juga keadaan persekitaran. Seringkali apabila diimbas kembali pesakit mungkin dapat meneka alahan mereka dengan tepat.
Selain daripada usaha pencegahan, para doktor mungkin mengesyorkan pengambilan ubat anti-alahan hidung samada dalam bentuk pil antihistamin atau pam/spray hidung. Ubat ini dapat membantu mengawal simptom alahan hidung dengan lebih berkesan, terutamanya bagi pesakit yang mengalami alahan yang teruk atau yang terpaksa terdedah kepada alergen seperti mereka yang bekerja di gudang yang berhabuk.
Langkah- langkah mengatasi alahan
|
Elak dari terdedah kepada alergen
Pengambilan ubat yang disyorkan doktor apabila mengalami kes alahan teruk
|
Mengatasi masalah alergen utama iaitu HAMA
Ramai pesakit alahan hidung mempunyai alahan terhadap hama. Hama adalah binatang yang hanya dapat dilihat melalui kanta mikroskop. Sebenarnya alahan itu adalah terhadap najis hama tersebut. Hama hidup dengan memakan sel kulit mati yang terdapat pada katil dan perabot di dalam rumah kita. Ia suka kepada keadaan yang panas dan lembab.
Selain dari alahan hidung, alahan kepada hama juga boleh menyebabkan sakit asma (lelah) atau gatal kulit (eczema). Ciri utama dalam mengatasi alahan hama adalah pencegahan dan kebersihan.
Cara mengatasi hama
- Elak penggunaan permaidani di dalam rumah terutamanya di bilik tidur
- Elak mengunakan terlalu banyak kusyen atau perhiasan rumah yang dapat mengumpul habuk
- Alat mainan seperti patung beruang seharusnya jenis yang boleh dibasuh dengan senang dan kerap
- Basuh cadar dan selimut sekurang-kurangnya dua kali seminggu
- Elok basuh cadar dan selimut dengan menggunakan air panas 600C
- Menggunakan hampagas untuk mengurangkan habuk. Penggunaan hampagas yang mempunyai filter yang bagus (high efficiency filter, HEPA) dapat mengurangkan habuk dan hama dengan berkesan
- Mengelap perabot dengan kain lembap lebih berkesan dari menggunakan bulu ayam/plastik
- Memakai 'face mask' terutamanya semasa mengemas rumah ataupun di tempat kerja yang berhabuk
- Mengelakkan haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing dari kawasan bilik tidur
- Penggunaan lapik katil dan bantal yang anti-hama (anti-dust mite covers) juga dapat membantu
Apa yang boleh berlaku sekiranya masalah alahan hidung (resdung) tidak dikawal?
- Boleh menyebabkan masalah infeksi atau jangkitan kuman pada rongga hidung dan sinus (sinusitis)
- Boleh menyebabkan masalah polip hidung
- Gejala hidung yang sentiasa sumbat boleh mengurangkan daya konsentrasi dan menyebabkan pesakit merasa lesu
- Hidung tersumbat boleh mengganggu tidur yang berkualiti
- Alahan hidung juga berkait rapat dengan penyakit asma/lelah yang sukar dikawal
- Alahan hidung juga boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah jangkitan telinga ‘otitis media’ terutamanya pada kanak-kanak