Thursday, 28 December 2017

PEMBEDAHAN SINUS (ENDOSCOPIC SINUS SURGERY)

Sinus adalah rongga-rongga udara di dalam tengkorak muka. Ia terbahagi kepada sinus maksila, etmoid, frontal dan sfenoid. Kesemua sinus tersebut mempunyai pembukaan ke dalam rongga hidung. Selaput sinus merembeskan hingus dan membantu untuk memastikan kitaran hingus yang normal.
Sekiranya pembukaan sinus tersebut menjadi sumbat, rembesan hingus ini akan bertakung di dalam rongga-rongga sinus tersebut dan menyebabkan sinusitis.
Sinusitis bermaksud radang di dalam rongga-rongga sinus tersebut yang boleh disebabkan alahan, jangkitan, pencemaran udara atau masalah struktur di dalam hidung. Gejala yang berkaitan sinusitis termasuk lendir pekat, hidung sumbat, sakit bahagian muka, sakit kepala, batuk, hilang deria bau, demam dan sakit tekak.
Untuk kepastian diagnosis sinusitis, pakar ENT akan menjalankan pemeriksaan endoskopi rongga hidung di klinik. Dan jika perlu, CT scan dijalankan untuk mengetahui tahap sinusitis yang dihadapi.
Kebanyakan kes sinusitis boleh dirawat dengan ubat-ubatan. Tetapi ada pesakit yang memerlukan pembedahan sinusitis sekiranya rawatan ubatan gagal atau terjadi komplikasi jangkitan sinusitis.
Pembedahan sinusitis kini dijalankan secara endoskopi (Endoscopic sinus surgery, ESS) di mana skop dan alatan pembedahan dimasukkan ke dalam rongga hidung tanpa hirisan pada kulit luar. Pembedahan ini selalunya dijalankan dengan bius penuh (general anaesthesia, GA) dalam keadaan pesakit tidak sedar.
Fungsi pembedahan ini adalah untuk membuka kembali pembukaan sinus yang sumbat dan sempit. Dan pencucian sinus dapat dijalankan. Sekiranya perlu, sampel tisu atau nanah juga diambil untuk pemeriksaan makmal. 
Pembedahan ESS kadangkala dilakukan bersama pembedahan septoplasty dan turbinat hidung. Ini bertujuan untuk membuka rongga hidung dengan lebih luas supaya masalah hidung sumbat dapat diatasi dan ia juga membantu membuka ruang dalam hidung untuk memudahkan pakar ENT memasukkan alat pembedahan semasa pembedahan ESS.
Selesai pembedahan ESS bahagian rongga hidung mungkin disumbat 'packing' bertujuan mengurangkan pendarahan dan juga sebagai cara untuk meletakkan ubat supaya terus diserap oleh lapisan mukosa.
Pesakit akan diajar cara mencuci hidung selepas pembedahan untuk pastikan luka cepat sembuh. Ia juga dapat memastikan luka dalaman pulih dengan elok dan pembukaan 'baru' tersebut terbentuk dengan cantik. Selain daripada itu, pesakit juga dinasihatkan ubatan yang perlu diambil selepas pembedahan.
Komplikasi yang boleh berlaku ketika pembedahan ESS adalah termasuk pendarahan, jangkitan luka, pendarahan serius daripada buluh darah besar dan komplikasi melibatkan mata atau otak. Risiko komplikasi adalah rendah tetapi elok berbincang dengan pakar bedah kerana setiap kes pesakit adalah berbeza.
Pesakit juga harus mengikut peraturan dan nasihat yang diberikan selesai pembedahan kerana ini adalah kritikal untuk pastikan pemulihan pembedahan yang sukses. Semasa rawatan susulan di klinik,  pakar ENT akan melakukan pemeriksaan endoskopi untuk memantau proses pemulihan dan juga melakukan pembersihan darah beku dan hingus dalam rongga hidung.
Penjagaan jangkamasa lama untuk masalah sinus yang dihadapi akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh pakar ENT anda. Jika mengalami masalah alahan, pesakit harus memastikan alahan dijaga walaupun selepas pembedahan. Sukses mana-mana pembedahan adalah hasil kerja pakar bedah dan juga penjagaan rapi oleh pesakit sendiri.

No comments:

Post a Comment