Fenomena ini boleh berlaku kerana terdapat perhubungan antara telinga tengah dan ruang belakang hidung melalui tiub Eustachian (rujuk gambarajah). Sekiranya tiub Eustachian ini tersumbat atau sempit, perubahan tekanan udara luar tidak dapat disamakan dengan tekanan udara di dalam telinga tengah. Oleh itu getaran gegendang telinga menjadi terganggu menyebabkan telinga terasa sumbat dan adakalanya sakit.
- Sudah berapa lama perkara ini berlaku?
- Adakah pesakit menaiki kapal terbang atau pergi menyelam baru-baru ini?
- Adakah telinga berasa sakit juga?
- Adakah terdapat rembesan atau nanah dari lubang telinga?
- Adakah pesakit mengalami gejala demam dan selsema baru-baru ini?
- Selain telinga rasa sumbat, adakah terdengar bunyi dengungan or desingan dalam telinga?
- Adakan pesakit mengalami gejala vertigo atau pening berpusing?
- Adakah pesakit suka mengorek telinga menggunakan putik kapas atau alatan lain?
- Adakah pendengaran pesakit terjejas atau berkurangan?
Perkara-perkara yang menyebabkan telinga rasa sumbat
1. Tahi telinga (ear wax) yang banyak dan tersumbat oleh sebab perbuatan lazim mengorek telinga. Perbuatan memasukkan putik kapas ke dalam telinga akan menolak tahi telinga masuk lebih ke dalam lubang telinga. Tahi telinga ini akan menjadi keras dan menyebabkan telinga rasa sumbat.
2. Jangkitan bakteria atau kulat di telinga luar (otitis externa). Jangkitan ini boleh menyebabkan lubang telinga menjadi tersumbat dengan nanah atau kotoran. Jika lubang telinga bengkak pesakit juga akan berasa sakit dan demam. Jangkitan telinga luar (otitis externa) ini boleh menjadi jangkitan yang serius terutamanya pada pesakit kencing manis (diabetes).
3. Gegendang telinga berlubang disebabkan oleh jangkitan kuman atau trauma. Gegendang telinga berlubang menjejaskan pendengaran, oleh sebab itu pesakit merasa seperti telinga tersumbat.
4. Jangkitan kuman pada telinga tengah (otitis media) menyebabkan terjadinya nanah di dalam ruang telinga tengah. Ini akan menjejaskan pendengaran dan menyebabkan telinga rasa tersumbat. Sekiranya terdapat jangkitan telinga tengah, pesakit akan mengalami sakit telinga yang teruk dan demam. Jangkitan telinga tengah lebih kerap berlaku apabila pesakit mengalami selsema teruk terutamanya pada kanak-kanak.
5. Cecair dalam ruang telinga tengah (middle ear effusion). Pengumpulan cecair di dalam ruang telinga tengah boleh berlaku disebabkan tiub Eustachian yang sumbat atau sempit. Ia berlaku disebabkan selsema teruk atau selepas jangkitan telinga tengah (otitis media) reda. Ia juga boleh berlaku sekiranya terdapat ketumbuhan atau tumor di bahagian nasofarinx (nasopharyngeal carcinoma).
6. Bendasing di dalam lubang telinga selalunya berlaku pada kanak-kanak di mana pelbagai jenis bendasing seperti manik, kacang, cebisan pemadam dan sebagainya yang dimasukkan ke dalam telinga semasa bermain.
7. Masalah pendengaran boleh juga menyebabkan rasa seperti telinga sumbat. Selalunya ia berkaitan dengan bunyi dengungan atau desingan dalam telinga. Masalah pendengaran boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, tulang osikel yang rosak, otosklerosis atau masalah koklea dan saraf pendengaran.
8. Ketumbuhan atau tumor di dalam telinga tengah juga akan menyebabkan telinga rasa tersumbat. Penyakit ini jarang berlaku tetapi ianya penting untuk dirawat dengan segera. Adakalanya pesakit juga mengalami gejala kurang pendengaran dan bunyi dengungan dalam telinga.
Rawatan
Pesakit
dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya mengalami gejala
telinga rasa tersumbat yang tidak pulih dengan sendirinya terutamanya setelah
cuba menguap, menelan atau mengunyah gula-gula getah.
Gejala-gejala lain seperti telinga kesakitan,
demam, rembesan nanah dari dalam telinga dan pening juga harus diberikan
pemerhatian yang serius.
Doktor di klinik dapat memeriksa telinga dan hidung pesakit untuk mengetahui punca telinga sumbat dan merujuk kepada pakar ENT sekiranya perlu.