Gegendang telinga merupakan
selaput nipis yang memisahkan antara telinga luar dan telinga tengah. Ia amat
penting bagi fungsi pendengaran yang normal. Ia juga penting untuk melindungi
bahagian telinga tengah dengan struktur-strukturnya.
Gegendang telinga (tympanic membrane) memisahkan ruang telinga luar dan telinga tengah |
PUNCA GEGENDANG TELINGA BERLUBANG/PECAH
Gegendang telinga yang berlubang
berpunca dari beberapa sebab seperti jangkitan telinga tengah (otitis media)
dan trauma. Kebanyakan kes gegendang berlubang berpunca dari jangkitan telinga
tengah. Jangkitan menyebabkan tekanan meningkat di dalam ruang telinga tengah
dengan adanya cecair nanah. Tekanan tersebut menyebabkan gegendang telinga pecah dan cecair nanah akan mengalir keluar.
Trauma yang dimaksudkan termasuk
dengan penggunaan putik kapas atau besi semasa mengorek telinga, tamparan pada
bahagian telinga atau pipi, perubahan tekanan mendadak semasa aktiviti menyelam
atau naik ke tempat tinggi, bunyi bising melampau seperti bunyi tembakan atau
letupan mercun.
APA PESAKIT AKAN RASA?
Simptom gegendang telinga pecah
adalah sakit yang teramat sangat dirasai dalam telinga atau pesakit berasa
tidak selesa. Pesakit juga merasa seperti telinga sumbat dan pendengaran
mungkin berkurangan. Kadangkala terdapat cecair atau darah mengalir keluar dari
dalam telinga. Pesakit juga mungkin berasa pening disebabkan oleh gegendang
pecah.
RAWATAN GEGENDANG TELINGA BERLUBANG/PECAH
Rawatan bagi gegendang telinga
berlubang bergantung kepada puncanya. Sekiranya ia disebabkan jangkitan kuman,
pesakit perlu mendapat rawatan antibiotik dan ubat titis telinga. Pakar ENT
juga akan mencuci telinga tersebut dengan menggunakan alat sedut di klinik ENT.
Setelah jangkitan kuman dirawati, iaitu telinga tengah sudah tidak mengeluarkan
nanah, gegendang telinga berlubang dapat ditampal dengan kaedah pembedahan
(myringoplasty). Ada kalanya gegendang telinga tersebut dapat pulih dan tutup dengan sendiri jika jangkitan dapat ditangani dengan segera seperti dalam kes otitis media akut (acute otitis media, AOM)
Kadangkala jangkitan telinga
tengah sudah berlarutan dan melibatkan mastoid. Ini berlaku sekiranya jangkitan telinga tengah adalah kronik dan melebihi 12 minggu (otitis media kronik atau chronic otitis media, CSOM). Bila ini berlaku jangkitan
kuman menjadi sukar untuk dirawat dengan kaedah antibiotik sahaja dan pesakit
mungkin memerlukan pembedahan mastoid. Dengan pembedahan ini tulang mastoid
yang dijangkiti kuman dapat dicuci dan dinyahkan jangkitan. Gegendang telinga
yang berlubang itu ditampal sekali.
Sekiranya gegendang telinga pecah
atau berlubang disebabkan oleh trauma, kebanyakan kes gegendang pecah itu dapat
pulih dengan sendiri bergantung kepada saiz lubang pada gegendang telinga. Saiz
lubang yang kecil kemungkinan besar dapat pulih secara semulajadi adalah tinggi, 80-90%. Tetapi
penting bagi pesakit menjaga kebersihan telinga dan mengelak air masuk ke dalam
telinga. Ini supaya jangkitan kuman tidak berlaku dan gegendang tersebut dapat
pulih dengan eloknya.