Wednesday, 7 July 2021

Tahi telinga: elok dibiarkan atau dibuang?


Tahi telinga adalah istilah yang mengelirukan kerana tahi telinga bukan bersifat najis dan ia mempunyai fungsi untuk memastikan telinga kita sihat. 
Kedudukan tahi telinga juga terletak di bahagian luar lubang telinga. Kelenjarnya adalah di bahagian kulit yang berbulu (mata panah oren dalam gambar).
Fungsi tahi telinga termasuk:
*Ia dapat memelihara dan melembapkan kulit dalam saluran telinga. Ini mengelakkan kulit kering dan gatal.
*Ia bertindak sebagai antiseptik untuk mengurangkan risiko jangkitan telinga.
*Ia juga menghindarkan serangga atau kotoran masuk ke dalam telinga.
*Ia membantu melindungi gegendang telinga (anak panah dan titik biru) di hujung lubang telinga. 

Tahi telinga yang sumbat selalu berlaku apabila penggunaan putik kapas yang menolaknya jauh ke dalam. 
Padahal secara semulajadi tahi telinga akan jatuh keluar kerana lubang telinga bersalin kulit dari dalam ke luar. 
Jika mengalami masalah tahi telinga sumbat, guna ubat cair titis telinga. Dan berjumpa pakar ENT untuk mencuci telinga tersebut. 

#earwax

Tuesday, 11 May 2021

ALAHAN KEPADA KUCING

Sayang pada kucing tetapi bila bermain dengan kucing; rasa gatal, bersin dan batuk. Antara tanda-tanda alahan pada binatang kesayangan adalah timbul ruam yang gatal, bersin, hidung gatal dan berair, gatal mata dan boleh menyebabkan asthma dan semput. Alahan pada kucing adalah disebabkan reaksi sistem imun badan yang melampau terhadap protein yang melekat pada bulu kucing. Protein tersebut adalah bekas air liur, kulit mati, air kencing dan sebagainya yang melekat pada bulu kucing tersebut. Jika masih tidak pasti, ujian alahan dapat dijalankan untuk pengesahan. Bagaimana untuk merawatnya? Kaedah paling berkesan ialah untuk mengelakkan membela haiwan tetapi agak sukar jika sudah menganggap anak bulus seperti ahli keluarga sendiri. Pastikan kucing tidur berasingan, jangan dibiarkan kucing masuk ke dalam bilik tidur. Jangan guna karpet atau alas yang menyebabkan bulu kucing melekat di situ. Kerap menggunakan vakum hampagas yang dapat memerangkap bulu kucing dengan berkesan. Boleh juga menggunakan pembersih udara dengan filter HEPA. Apabila bermain dengan kucing, elakkan mencium dan menggomol kucing. Dan terus cuci tangan dan muka selepas bermain. Kerap menyikat kucing supaya bulunya kurang gugur dan berterbangan merata-rata. Anda juga boleh menggunakan ubat alahan dan semburan hidung di bawah pengawasan doktor. Rawatan imunoterapi juga kini boleh digunakan untuk alahan bulu kucing.

Friday, 7 May 2021

Facebook page

 Please continue to follow my ramblings in facebook.com/drmazita/

and instagram @drmazitaentclinic

Friday, 31 August 2018

BATUK YANG KRONIK

Picture of the Human Lungs



Sekiranya pesakit mengalami batuk yang melebihi 2 minggu, wajar baginya mendapatkan pemeriksaan doktor. Definisi batuk yang kronik adalah batuk yang melebihi jangkamasa 4 minggu.

Apabila berjumpa dengan doktor, kami akan bertanya beberapa soalan seperti:
1. Adakah mengalami selsema seperti hidung sumbat atau berair dan demam?
2. Adakah rasa seperti ada kahak di belakang tekak?
3. Adakah suara berubah menjadi serak?
4. Adakah rasa sesak nafas?
5. Adakah mengalami symptom seperti gastrik atau refluks asid?
6. Adakah batuk sekali dengan kahak atau batuk kering?
7. Adakah kesan darah dalam kahak?

Kadangkala batuk tersebut boleh mengganggu aktiviti harian pesakit dan juga menyebabkan pesakit sukar tidur dengan lena.

Cara untuk menangani masalah batuk ialah dengan mencari punca yang menyebabkan batuk tersebut. Ini dimulakan dengan memberi sejarah penyakit yang terperinci kepada doktor. Dan kemudiannya menjalani pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan diagnosis yang tepat. Ini dilakukan dengan pemeriksaan endoskopi di klinik diikuti pemeriksaan lanjut jika perlu.

Ada pelbagai punca masalah batuk kronik. Kadangkala pesakit mengalami satu daripada penyakit yang disenaraikan ataupun kombinasi penyakit-penyakit tersebut:

- Masalah hidung atau sinus yang menyebabkan lendir yang sentiasa mengalir dari belakang hidung ke tekak.

- Masalah refluks asid yang menyebabkan radang pada tekak. Kerap pesakit sendiri tidak perasan ada masalah tersebut kerana mereka tidak semestinya rasa sakit perut atau pedih ulu hati.

- Penyakit asma juga menyebabkan batuk kronik.

- Radang paru-paru disebabkan jangkitan kuman. Batuk ini adalah selalunya batuk berkahak pekat.

- Penyakit tuberculosis (batuk kering) menyebabkan batuk kronik, kahak berdarah, kurang berat badan dan demam malam. Risiko penyakit ini meningkat sekiranya pernah terdedah kepada pesakit tuberkulosis paru-paru sebelum ini.

- Ubat darah tinggi atau anti-hipertensi juga mempunyai kesan sampingan batuk. Jika ini disahkan punca batuk tersebut, pesakit boleh berbincang dengan doktor untuk tukar kepada ubat yang lain.

- Penyakit paru-paru kronik yang selalu berkaitan dengan penghisap rokok.

- Kanser paru-paru juga boleh menyebabkan batuk yang kronik.

Jadi, wajar pesakit mendapatkan pemeriksaan yang menyeluruh sekiranya mengalami batuk yang kronik.




IMPLAN KOKLEAR [2]

Pembedahan implan koklear diujukan kepada pesakit yang mengalami masalah saraf pendengaran yang teruk.
Ini bermaksud mereka yang tidak dapat ditingkatkan pendengaran dengan menggunakan alat pendengaran atau 'hearing aid'.

Golongan pesakit termasuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah pendengaran dan juga orang dewasa yang telah hilang daya pendengaran.

Kesesuaian pembedahan implan koklear ini adalah berbeza antara pesakit.
Terdapat pelbagai faktor yang perlu diambilkira bila doktor ingin mengesyorkan pembedahan implan koklear kepada pesakit.

Pesakit perlu melalui pemeriksaan dan ujian lanjut oleh doktor pakar ENT, pakar audiologi dan pakar terapi pertuturan. Kadangkala, perlu juga pendapat daripada pakar pediatrik dan juga yang lain bergantung kepada kes pesakit.


FACIAL NERVE


Saraf fasial yang berfungsi untuk mengawal pergerakan muka, deria rasa lidah dan rembesan kelenjar  air liur.

Facial nerve
The 7th cranial nerve
Nerve to your face
When u smile or grimace

To the ENT surgeon
It's our bane
Always in the way
Within our dormain

Behold its presence
In mastoid or parotid
It is in our essence
To search and preserve it

A friend or foe
Do not despair
Best to treat it as a friend
In our daily affair

Waste not time
Sweating over it
Learn its anatomy
So we own it



Gambaran saraf fasial dan cabang-cabangnya dalam pembedahan kelenjar parotid

Thursday, 28 December 2017

PEMBEDAHAN SINUS (ENDOSCOPIC SINUS SURGERY)

Sinus adalah rongga-rongga udara di dalam tengkorak muka. Ia terbahagi kepada sinus maksila, etmoid, frontal dan sfenoid. Kesemua sinus tersebut mempunyai pembukaan ke dalam rongga hidung. Selaput sinus merembeskan hingus dan membantu untuk memastikan kitaran hingus yang normal.
Sekiranya pembukaan sinus tersebut menjadi sumbat, rembesan hingus ini akan bertakung di dalam rongga-rongga sinus tersebut dan menyebabkan sinusitis.
Sinusitis bermaksud radang di dalam rongga-rongga sinus tersebut yang boleh disebabkan alahan, jangkitan, pencemaran udara atau masalah struktur di dalam hidung. Gejala yang berkaitan sinusitis termasuk lendir pekat, hidung sumbat, sakit bahagian muka, sakit kepala, batuk, hilang deria bau, demam dan sakit tekak.
Untuk kepastian diagnosis sinusitis, pakar ENT akan menjalankan pemeriksaan endoskopi rongga hidung di klinik. Dan jika perlu, CT scan dijalankan untuk mengetahui tahap sinusitis yang dihadapi.
Kebanyakan kes sinusitis boleh dirawat dengan ubat-ubatan. Tetapi ada pesakit yang memerlukan pembedahan sinusitis sekiranya rawatan ubatan gagal atau terjadi komplikasi jangkitan sinusitis.
Pembedahan sinusitis kini dijalankan secara endoskopi (Endoscopic sinus surgery, ESS) di mana skop dan alatan pembedahan dimasukkan ke dalam rongga hidung tanpa hirisan pada kulit luar. Pembedahan ini selalunya dijalankan dengan bius penuh (general anaesthesia, GA) dalam keadaan pesakit tidak sedar.
Fungsi pembedahan ini adalah untuk membuka kembali pembukaan sinus yang sumbat dan sempit. Dan pencucian sinus dapat dijalankan. Sekiranya perlu, sampel tisu atau nanah juga diambil untuk pemeriksaan makmal. 
Pembedahan ESS kadangkala dilakukan bersama pembedahan septoplasty dan turbinat hidung. Ini bertujuan untuk membuka rongga hidung dengan lebih luas supaya masalah hidung sumbat dapat diatasi dan ia juga membantu membuka ruang dalam hidung untuk memudahkan pakar ENT memasukkan alat pembedahan semasa pembedahan ESS.
Selesai pembedahan ESS bahagian rongga hidung mungkin disumbat 'packing' bertujuan mengurangkan pendarahan dan juga sebagai cara untuk meletakkan ubat supaya terus diserap oleh lapisan mukosa.
Pesakit akan diajar cara mencuci hidung selepas pembedahan untuk pastikan luka cepat sembuh. Ia juga dapat memastikan luka dalaman pulih dengan elok dan pembukaan 'baru' tersebut terbentuk dengan cantik. Selain daripada itu, pesakit juga dinasihatkan ubatan yang perlu diambil selepas pembedahan.
Komplikasi yang boleh berlaku ketika pembedahan ESS adalah termasuk pendarahan, jangkitan luka, pendarahan serius daripada buluh darah besar dan komplikasi melibatkan mata atau otak. Risiko komplikasi adalah rendah tetapi elok berbincang dengan pakar bedah kerana setiap kes pesakit adalah berbeza.
Pesakit juga harus mengikut peraturan dan nasihat yang diberikan selesai pembedahan kerana ini adalah kritikal untuk pastikan pemulihan pembedahan yang sukses. Semasa rawatan susulan di klinik,  pakar ENT akan melakukan pemeriksaan endoskopi untuk memantau proses pemulihan dan juga melakukan pembersihan darah beku dan hingus dalam rongga hidung.
Penjagaan jangkamasa lama untuk masalah sinus yang dihadapi akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh pakar ENT anda. Jika mengalami masalah alahan, pesakit harus memastikan alahan dijaga walaupun selepas pembedahan. Sukses mana-mana pembedahan adalah hasil kerja pakar bedah dan juga penjagaan rapi oleh pesakit sendiri.