Kanser tekak lebih tepat dikenali sebagai kanser laring (larynx) dari segi istilah perubatan. Anatomi laring melibatkan kawasan peti suara yang juga berdekatan saluran pemakanan iaitu esofagus (esophagus).
Di dalam kajian
National Cancer Registry tahun 2006 terdapat 1.1 kes per 100,000 populasi di Malaysia di mana kaum lelaki mencatatkan kekerapan lebih 5 kali ganda berbanding kaum wanita. Ia juga menunjukkan peningkatan kes bagi pesakit yang berumur 40 tahun ke atas dengan yang tertinggi di kalangan pesakit yang berumur 60-69 tahun.
|
Kawasan tekak (larynx) melibatkan khususnya organ peti suara (glottis), supraglottis dan subglottis |
Gejala kanser tekak seringkali timbul sebagai perubahan suara, suara garau atau masalah menelan makanan dan minuman. Pesakit juga kadangkala berasa seperti ada 'sesuatu yang sangkut' di bahagian tekak. Perubahan suara kerapkali merupakan gejala sakit tekak biasa yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Akan tetapi sekiranya perubahan suara itu berlarutan lebih dari 2 minggu, pesakit seharusnya mendapatkan pemeriksaan tekak yang lebih terperinci.
Gejala-gejala lain yang berkaitan kanser tekak adalah bengkak pada leher yang disebabkan oleh kelenjar limpa, batuk berdarah, sesak pernafasan atau pernafasan berbunyi terutamanya di kalangan mereka yang merokok.
PEMERIKSAAN KLINIKAL
Pesakit yang mempunyai gejala- gejala tersebut perlu diperiksa dengan lebih lanjut menggunakan peralatan endoskopi semasa sesi rawatan di dalam klinik pakar. Sekiranya pemeriksaan endoskopi menunjukkan ketumbuhan di kawasan tekak pesakit perlu menjalani pemeriksaan selanjutnya.
Ketumbuhan pada tekak boleh disebabkan oleh pelbagai penyakit seperti tuberkulosis (batuk kering), polip, granuloma selain dari kanser. Untuk mengenalpasti punca sebenar sedikit tisu perlu diambil dari ketumbuhan tersebut. Kerapkali ini melibatkan pembedahan kecil.
Pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan CT scan (computed tomography) untuk mengetahui sejauh mana kanser tersebut telah merebak.
RISIKO KANSER TEKAK
Terdapat beberapa faktor yang merupakan risiko tinggi untuk kanser tekak:
Faktor umur- Risiko meningkat semakin pesakit berumur
Alkohol- Tabiat pengambilan alkohol atau minuman keras merupakan faktor risiko yang tinggi terutamanya jika pesakit juga mengamalkan tabiat merokok
Merokok- Perokok tegar yang bertahun-tahun lamanya mempunyai risiko yang amat tinggi
Pesakit kanser tekak di kalangan ahli keluarga terdekat terutamanya ibubapa atau adik-beradik
Human papillomavirus- Jangkitan virus ini juga meningkatkan risiko kanser tekak
Faktor lain seperti Asid reflux, pencemaran Bahan kimia, Diet yang kurang sihat
RAWATAN KANSER TEKAK
Pelan rawatan penyakit kanser perlu pertimbangan antara pesakit dan doktor pakar bedah bersama pakar onkologi. Rawatan kanser tekak yang disyorkan oleh doktor pakar bergantung kepada tahap kanser tersebut.
Sekiranya tahap penyakit kanser tekak masih di peringkat awal rawatan secara pembedahan atau radioterapi perlu dijalankan. Ketumbuhan kanser yang lebih besar terutamanya yang melibatkan kelenjar limpa perlu kedua-dua pembedahan dan radioterapi. Kadangkala kemoterapi juga diperlukan bagi tahap kanser tekak yang lebih lanjut. Pelan rawatan penyakit kanser adalah khusus bagi setiap pesakit setelah mengambil kira tahap kanser, keadaan kesihatan pesakit dan jenis sel kanser.
PERINGATAN
Peringatan yang paling penting ialah pesakit harus cepat mendapatkan pemeriksaan lanjutan sekiranya mengalami gejala-gejala di atas. Kerana pemeriksaan awal dapat mengesan ketumbuhan pada peringkat awal. Sekiranya kanser tersebut dapat dikenalpasti pada peringkat awal, sudah tentu rawatannya kurang rumit dan peratusan kebarangkalian sembuh adalah amat tinggi.