Friday, 4 May 2012

KANSER TEKAK

Kanser tekak lebih tepat dikenali sebagai kanser laring (larynx) dari segi istilah perubatan. Anatomi laring melibatkan kawasan peti suara yang juga berdekatan saluran pemakanan iaitu esofagus (esophagus).
Di dalam kajian National Cancer Registry tahun 2006 terdapat 1.1 kes per 100,000 populasi di Malaysia di mana kaum lelaki mencatatkan kekerapan lebih 5 kali ganda berbanding kaum wanita. Ia juga menunjukkan peningkatan kes bagi pesakit yang berumur 40 tahun ke atas dengan yang tertinggi di kalangan pesakit yang berumur 60-69 tahun.

Kawasan tekak (larynx) melibatkan khususnya organ peti suara (glottis), supraglottis dan subglottis

Gejala kanser tekak seringkali timbul sebagai perubahan suara, suara garau atau masalah menelan makanan dan minuman. Pesakit juga kadangkala berasa seperti ada 'sesuatu yang sangkut' di bahagian tekak. Perubahan suara kerapkali merupakan gejala sakit tekak biasa yang disebabkan oleh jangkitan kuman. Akan tetapi sekiranya perubahan suara itu berlarutan lebih dari 2 minggu, pesakit seharusnya mendapatkan pemeriksaan tekak yang lebih terperinci.

Gejala-gejala lain yang berkaitan kanser tekak adalah bengkak pada leher yang disebabkan oleh kelenjar limpa, batuk berdarah, sesak pernafasan atau pernafasan berbunyi terutamanya di kalangan mereka yang merokok.

PEMERIKSAAN KLINIKAL

Pesakit yang mempunyai gejala- gejala tersebut perlu diperiksa dengan lebih lanjut menggunakan peralatan endoskopi semasa sesi rawatan di dalam klinik pakar. Sekiranya pemeriksaan endoskopi menunjukkan ketumbuhan di kawasan tekak pesakit perlu menjalani pemeriksaan selanjutnya.

Ketumbuhan pada tekak boleh disebabkan oleh pelbagai penyakit seperti tuberkulosis (batuk kering), polip, granuloma selain dari kanser. Untuk mengenalpasti punca sebenar sedikit tisu perlu diambil dari ketumbuhan tersebut. Kerapkali ini melibatkan pembedahan kecil.

Pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan CT scan (computed tomography) untuk mengetahui sejauh mana kanser tersebut telah merebak.

RISIKO KANSER TEKAK

Terdapat beberapa faktor yang merupakan risiko tinggi untuk kanser tekak:
Faktor umur- Risiko meningkat semakin pesakit berumur
Alkohol- Tabiat pengambilan alkohol atau minuman keras merupakan faktor risiko yang tinggi terutamanya jika pesakit juga mengamalkan tabiat merokok
Merokok- Perokok tegar yang bertahun-tahun lamanya mempunyai risiko yang amat tinggi
Pesakit kanser tekak di kalangan ahli keluarga terdekat terutamanya ibubapa atau adik-beradik
Human papillomavirus- Jangkitan virus ini juga meningkatkan risiko kanser tekak
Faktor lain seperti Asid reflux, pencemaran Bahan kimia, Diet yang kurang sihat

RAWATAN KANSER TEKAK

Pelan rawatan penyakit kanser perlu pertimbangan antara pesakit dan doktor pakar bedah bersama pakar onkologi. Rawatan kanser tekak yang disyorkan oleh doktor pakar bergantung kepada tahap kanser tersebut.

Sekiranya tahap penyakit kanser tekak masih di peringkat awal rawatan secara pembedahan atau radioterapi perlu dijalankan. Ketumbuhan kanser yang lebih besar terutamanya yang melibatkan kelenjar limpa perlu kedua-dua pembedahan dan radioterapi. Kadangkala kemoterapi juga diperlukan bagi tahap kanser tekak yang lebih lanjut. Pelan rawatan penyakit kanser adalah khusus bagi setiap pesakit setelah mengambil kira tahap kanser, keadaan kesihatan pesakit dan jenis sel kanser.

PERINGATAN
Peringatan yang paling penting ialah pesakit harus cepat mendapatkan pemeriksaan lanjutan sekiranya mengalami gejala-gejala di atas. Kerana pemeriksaan awal dapat mengesan ketumbuhan pada peringkat awal. Sekiranya kanser tersebut dapat dikenalpasti pada peringkat awal, sudah tentu rawatannya kurang rumit dan peratusan kebarangkalian sembuh adalah amat tinggi.

12 comments:

  1. salam....saya ada tanda-tanda seperti rasa benda tersangkut.....saya sudah mengalami tanda ini slama
    2 bulan....adakah ini tahap awal?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Simptom rasa benda tersangkut perlu pemeriksaan ENT yang lebih lanjut.

      Delete
  2. Assalamualaikum. Maaf menggangu puan. saya ade mengalami maksalah bila sahaje minum minuman panas saya seperti mengalami benda tersangkut ditekak. dan bila saya minum air masak untuk dibilas . sedawa mula keluar dah rasa selesa. kenapa jadi macam tue. dah saya sudah dua kali mengalami maksalah nafas yang selesa. kerana rasa tersangkut. bila bersenam dan minum air baru kelaur sedawa dan lasa mulai lapang. mohon pencerahan dari puan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,
      Elok diperiksa masalah tersebut. Samada masalah di bahagian tekak atau perut.

      Delete
    2. terima kasih pn. nak tanya lah . perut saya adekalanya sakit sebelah kanan bawah rusuk akhir. biasanya berlaku bila lambat makan . atau pun makan makanan pedas. kekadang tue sakit nya melibatkan bahagian belakang badan sebelah kanan. seperti sakit urat belikat.

      Delete
  3. Saya ada alami terasa benda tersangkut di tekak hmpir 3 buln.. sya dh pergi jmpa doktor di jbtn pskit luar HKL.. doktor ambil test ecg dgn ambil drah utk thyroid... result xdak msalh... lpas 2 doktor bgtau yg itu hnya mslah stress.. skrng ni sya btul2 x slesa bila mnelan... sya just geram bila doktor x trnsfer kes sya ke ENT..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jika masih ada masalah menelan, elok diperiksa oleh pakar ENT. Mungkin boleh berjumpa dengan doktor berkenaan dan request referral.

      Delete
  4. Assalamualaikum..maaf menganggu puan..saya ingin bertanya..saya mengalami sakit di tekak,tapi bukan sakit di kerongkong tekak,tapi sakit ni berlaku di sebelah kanan tekak saya,apabila makan dan minum,saya tak terasa sakit,tapi apabila menelan air liur,saya terasa sakit dan apabila saya sujud,terasa sangat sakit di sebelah kanan tekak saya..adakah ia salah satu simptom kanser tekak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,
      Kanser selalunya tidak merasa sakit kecuali jika ia sudah merebak ke bahagian tulang. Elok diperiksa untuk mengetahui punca rasa sakit tersebut kerana tidak normal rasa sakit yang berpanjangan.

      Delete
  5. ASALAM
    DR MAZITA SAYA NAK TANYA ..BAPA SAYA DAH HILANG SUARA HAMPIR 2 BULAN ..BILA BERCAKAP HANYA ANGIN YANG KELUAR DARI MULUT BAPA SAYA ..DAH BAWA KE HOSPITAL SERDANG TAPI MASIH MENUNGGU TURN ..HARAP DAPAT PENJELASAN DARI DOKTOR .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumsalam,
      Maaf lambat jawab kerana saya berada di luar negara sebulan lepas.
      Saya harap ayah saudara/i sudah pun berjumpa dengan pakar ENT.
      Ia petanda masalah yang serius.

      Delete